SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan Myanmar seharusnya mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu etnik Rohingya di peringkat dalaman negara itu. Beliau berkata perkara itu perlu supaya negara ASEAN lain tidak menanggung beban dengan masalah pendatang asing tanpa izin Rohingya di negara masing-masing. "Apakah tanggungjawab kerajaan Myanmar ... tiadakah sifat kemanusiaan untuk mereka selesaikan perkara ini secara dalaman. "Akhirnya beban itu terpaksa ditanggung oleh negara ASEAN yang berjiran dengan Myanmar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media DRB-Hicom Tan Sri Muhyiddin (TSM) Golf Challenge, di sini, Ahad. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Malaysia terhadap isu etnik Rohingya di Malaysia. Katanya kerajaan memandang serius isu pendatang asing Rohingya di Malaysia dan berikutan itu Kabinet telah memutuskan supaya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan perbincangan dengan negara-negara berkaitan termasuk Myanmar, Indonesia dan Thailand bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan. "Ini isu yang besar bagi kita sebab babitkan soal keselamatan negara dan kemanusiaan ... Kabinet telah bincang isu ini secara serius dan kita telah memutuskan supaya Menteri Luar Malaysia, Indonesia dan Thailand berhubung dengan Myanmar bincang soal ini. "Kita mahu kedatangan mereka (Rohingya) ini dapat dikawal kerana ia menjadi beban besar kepada negara sebab dimaklumkan ribuan yang datang ke sini (Malaysia). Ini sepatutnya tanggungjawab UNCHR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) tetapi nampaknya (tanggungjawab) tidak begitu berkesan," katanya. Muhyiddin berkata sekiranya perkara itu tidak dapat ditangani, kerajaan khuatir akan berlaku kebanjiran pendatang asing Rohingya sekaligus memberi kesan yang tidak baik kepada negara. "Kita tidak mahu memberi isyarat yang tidak betul kepada kumpulan ini, sekiranya mereka diberi layanan dan diberikan apa yang sepatutnya, kita bimbang akan ada ratusan ribu yang akan datang berhijrah ke sini (Malaysia)," katanya. Baru-baru ini dilaporkan sebanyak 1,158 pendatang asing Bangladesh dan Rohingya termasuk kanak-kanak dan wanita mendarat dengan bot di Langkawi.