suria

Wanita Tikam Rakan Sekerja Dipenjara Lima Hari, Denda RM7,000

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita yang menikam rakan sekerja kerana tidak berpuas hati dalam urusan perniagaan akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Rajeswari, 32, seorang jurugambar perkahwinan, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Nur Nisha Abdullah, 28, dengan menggunakan sebilah pisau.

Rajeswari didakwa melakukan kesalahan itu di Blok E-4-22 rumah pangsa Danau Kota, Jalan 2/3D, Taman Danau Kota, Setapak, di sini pada 4.30 pagi, 13 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 13 Mei dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lapan bulan. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, semasa mangsa berada di ruang tamu rumahnya, tertuduh telah datang dan menikam bahagian belakang badan mangsa beberapa kali dipercayai berpunca kerana rasa tidak puas hati mengenai perniagaan mereka.

Mangsa berjaya menyelamatkan diri dan menelefon seorang lagi rakan sekerjanya yang kemudian membawa mangsa ke hospital untuk rawatan.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan dia sudah kematian suami dan perlu menanggung dua anak berusia 13 dan 11 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh yang menggunakan pisau dan menikam mangsa beberapa kali telah mengancam nyawa mangsa selain mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.-- Bernama

Artikel Lain