suria

Hasil GST Untuk Tambah Baik Kemudahan Rakyat - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled Nordin.

NUSAJAYA: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dimanfaatkan untuk menambah baik kemudahan awam serta pembangunan lain.

"Kita mendambakan sekolah yang baik, hospital yang setaraf negara maju, universiti terkemuka, penyelidikan merentas zaman dan pelbagai lagi kemajuan lain dan ini semua memerlukan kerajaan melabur dengan banyak dan besar," katanya dalam penggulungan persidangan dewan undangan negeri, di sini, Isnin.

Justeru katanya, kerajaan percaya transformasi sistem percukaian adalah jalan terbaik untuk mempertingkat pendapatan negara.

"Kita harus mengakui bahawa ekonomi kita sangat bergantung kepada sektor perkhidmatan. Maka oleh kerana itu, kita harus melebarkan usaha mendapatkan pulangan dari pelbagai sektor perkhidmatan ini," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor sebelum akhir tahun ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berlaku secara menyeluruh.

"Dokumen (pelan) ini akan menjadi peta untuk kita rujuk bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya berpusat di beberapa kawasan tertentu.

"Bagi kita, setiap kawasan, setiap daerah mempunyai kepentingan strategik sendiri, cuma kita tidak pernah membongkar potensi strategik ini dan inilah masa yang sesuai untuk kita membongkarnya," kata beliau.

Mohamed Khaled Nordin, GST

Artikel Lain