KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat pada pemilihan parti itu Jun ini. Keputusan itu sekaligus menyaksikan Nik Mohamad Abduh menolak pencalonan yang diterimanya untuk mempetahankan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. "Saya telah memperolehi pencalonan untuk posisi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS. "Setelah beberapa ketika menilai pandangan daripada rakan-rakan seperjuangan, selain menekuni beberapa faktor yang mewarnai iklim perjuangan politik Islam PAS dan mengumpul kembali kekuatan jiwa kepemudaan, saya hari ini dengan rendah diri menerima pencalonan untuk posisi Ketua Dewan Pemuda PAS,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa. Pendirian Nik Mohamad Abduh itu juga memperlihatkan kumpulan ulama kembali mempergiatkan usaha menduduki kepimpinan tertinggi parti itu dalam pemilihan kali ini. Sehingga kini penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat masih belum menyatakan pendirian untuk mempertahankan kedudukannya.