suria

Lelaki Mengamuk Terima Rawatan Psikiatri

Lelaki yang ditahan selepas menjadikan lima ahli keluarganya tebusan baru-baru ini.

MELAKA: Lelaki yang mengamuk dan menjadikan lima anggota keluarganya sebagai tebusan kini sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Melaka bagi menentukan status mentalnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, ia bagi memastikan sama ada lelaki berusia 30-an itu boleh menjalani perbicaraan bersabit tindakannya itu di Taman Duyong Indah dua hari lepas.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod rawatan mental dan kini pihak polis masih menunggu laporan doktor sama ada dia mengalami sakit mental atau tidak.

"Siasatan dan dakwaan akan diteruskan sekiranya laporan doktor mendapati dia tidak mengalami sakit mental," katanya.

Dalam kejadian tersebut, suspek menjadikan isteri, ibu dan tiga anaknya sebagai tebusan lebih enam jam di rumahnya.

Pihak polis berjaya menyelamatkan anggota kelurga suspek selepas membuat serbuan di awal pagi.

Shaikh Abdul Adzis berkata siasatan awal turut mendapati suspek bertindak memukul, menumbuk dan memijak anggota keluarganya kerana mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Isteri dan tiga anak mangsa kini masih dirawat di Hospital Melaka bagi mengurangkan kesan trauma mereka.-- Bernama

Artikel Lain