KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, kemarahan PAS terhadap DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan sewajarnya dirasai umat Islam secara keseluruhannya. Katanya lagi, Islam menuntut kemarahan umatnya apabila DAP secara berterusan menentang pelaksanaan undang-undang Islam yang bukan menjadi hak parti itu. "Allah pun marah, murka. Sifat marah ini ada pada Allah. Ada marah yang baik, ada marah yang tak baik. "Kalau tak ada marah dalam soal Islam, tak ada kemanisan iman iaitu bila perkara yang menyentuh mengenai Islam. Ini tanggungjawab orang Islam,” katanya sambil disambut laungan takbir. Ketika hadir pada program Bicara Harakah pada Selasa, Hadi menjawab soalan peserta dari Sungai Siput yang mahu Presiden PAS itu menjelaskan mengapa wujud perbalahan termasuk perasaan marah terhadap DAP yang menjadi rakan sekutu dalam pakatan pembangkang. “Mengapa kita tak habis-habis lagi marah sangat dengan rakan kita DAP tu. Cukuplah...kan kita ni agama dakwah. Kita marah, semua orang pun marah. Tapi cukuplah,” kata individu berkenaan. Selain itu, kata Hadi, pihaknya sudah memberi penjelasan kepada DAP berhubung pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan yang diterajui PAS. Namun katanya, sikap DAP yang melanggari persetujuan berhubung hak kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud merupakan punca perbalahan dua komponen berkenaan. “Kita kemukakan usul yang berkait dengan undang-undang jenayah syariah di Kelantan, yang berkait dengan orang Islam sahaja..tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. “Dan kita sudah mengadakan pertemuan bersama dengan DAP. (Mereka) bersetuju Kelantan ada hak untuk kemukakan ini. DAP juga ada hak dia untuk tak bersetuju. “Namun demikan dia terus buat kenyataan menentang hak Kelantan nak laksanakan undang-undang itu. Ini hak Kelantan. Bila ada perkara macam ini, tanggungjawab kita lah nak marah,” katanya. Isu hudud menjadi polemik di kalangan komponen pakatan pembangkang khususnya selepas Hadi mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bagi meminda Akta 355 untuk meluaskan bidang kuasa mahkamah syariah. Malah DAP turut memutuskan hubungan dengan Hadi namun menetapkan pendirian untuk terus bekerjasama dengan PAS serta pemimpin PAS lain.