KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Selasa mencabar Pakatan Rakyat (PR) supaya menamakan calon perdana menteri dalam kabinet bayangan mereka seperti yang diumumkan ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Shahidan berkata kebiasaannya, perdana menteri dipilih daripada parti yang kuat atau menguasai majoriti dan dalam isu itu, DAP mempunyai bilangan kerusi yang paling banyak dalam pakatan. "Parti yang majoriti sekarang adalah DAP memiliki 37 kerusi, PKR ada 29 kerusi dan PAS 21 kerusi, jadi sudah pasti DAP yang patut jadi perdana menteri. "Atau apakah mahu berikan jawatan itu kepada ketua pembangkang, tetapi jika ketua pembangkang itu datang daripada parti lemah sudah tentu dia tidak mampu menjadi perdana menteri yang kuat," katanya yang ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini. Pada Isnin, Wan Azizah dalam satu sidang media berkata PR akan mewujudkan semula kabinet bayangan pembangkang yang bertujuan memperkukuh sistem 'check and balance' (periksa dan imbang). Wan Azizah berkata jawatankuasa kabinet bayangan pembangkang untuk setiap kementerian akan diwakili oleh anggota Parlimen PR. Bagaimanapun, pada Selasa cadangan ketua pembangkang itu menerima tamparan hebat apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menolak cadangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tidak praktikal. Sebaliknya parti itu tampil dengan kabinet bayangannya sendiri, namun tidak menamakan calon perdana menteri yang akan menerajuinya.