suria

Kebanjiran Migran: Anifah Temui Rakan Sejawat Dari Myanmar

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Thailand Tanasak Patimapragorn dan Menteri Luar Negeri Indonesia Retno L.P. Marsudi (kanan) ketika mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu etnik Rohingya di Wisma Putra pada Rabu.

PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan menemui rakan sejawatannya dari Myanmar U Wunna Maung Lwin tidak lama lagi untuk berbincang dan mencari penyelesaian mengenai kebanjiran migran tidak teratur.

"Atas semangat ASEAN, kami sentiasa berbincang untuk mencari penyelesaian yang memanfaatkan semua negara terlibat. Bagaimanapun, kami juga perlu mendengar kesulitan Myanmar," kata Anifah dalam sidang media selepas bermesyuarat dengan rakan sejawatan dari Indonesia Retno Marsudi dan Jen Tanasak Patimapragorn dari Thailand di sini, Rabu bagi menangani kebanjiran migran.

"Walaupun ASEAN tidak mencampuri isu domestik berkaitan, masalah ini  (kemasukan migran tidak teratur) bukan sahaja masalah Myanmar, Malaysia, Indonesia atau ASEAN, malah ia adalah masalah komuniti antarabangsa," kata beliau.

Anifah berkata Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN 2015, mungkin meminta supaya Sidang Kemuncak ASEAN mini diadakan semasa "Mesyuarat Khas mengenai Migrasi Tidak Teratur di Lautan Hindi" pada 29 Mei di Bangkok.

Menjawab satu soalan, Anifah berkata negara-negara terlibat akan terus melibatkan diri dengan Myanmar dari semasa ke semasa dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu migran.

Anifah juga berkata beliau akan mengeluarkan arahan segera kepada pihak berkuasa maritim untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada orang migran.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat hari ini,  Malaysia, Indonesia dan Thailand akan terus melaksanakan tanggungjawab dan obligasi di bawah undang-undang antarabangsa dan selaras dengan undang-undang domestik masing-masing termasuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada migran.

Seramai 1,158 pendatang Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan telah mendarat secara haram dengan bot di Langkawi, pada 10 Mei dan angka itu dilaporkan sebagai yang terbesar setakat ini.

Myanmar, Indonesia

Artikel Lain