suria

Kerajaan Tidak Campur Tangan Urusan Parlimen

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menolak dakwaan wujudnya campur tangan antara kerajaan selaku badan eksekutif dengan institusi Parlimen.

Malah Shahidan selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen menegaskan beliau tidak pernah mengganggu institusi berkenaan termasuk tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Portfolio menteri tidak terlibat, tidak campur tangan dan tidak juga mengganggu kuasa-kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam menjalankan tugasnya.

"Tiada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak termasuk saya sendiri. Sebagai menteri yang bertanggungjawab saya hanya membawa usul kerajaan untuk dibahaskan di dalam Dewan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mahu jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang khusus menjaga hal ehwal Parlimen dihapuskan.

Kata Pandikar Amin, ia bagi mengelakkan kekeliruan tugas dan persepsi negatif terhadap kebebasan Parlimen serta kewujudan jawatan tersebut menyebabkan doktrin pemisahan kuasa tidak dapat dilaksanakan.

Mengulas lanjut Shahidan berkata, perjalanan Parlimen sebagai sebuah institusi penting yang mengawal dan menentukan penubuhan kerajaan Persekutuan sering mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dengan sebab itu, Perdana Menteri telah membuat keputusan untuk meletakkan seorang menteri dengan portfolio khusus untuk memantau perjalanan Parlimen,” katanya.

Parlimen, Dewan Rakyat

Artikel Lain