suria

Gempa Bumi: Malaysia Pindahkan Pejabat Kedutaan Di Nepal

KATHMANDU: Kedutaan Malaysia di Kathmandu beroperasi di lokasi baharu setelah bangunan yang menempatkan pejabat kedutaan rosak teruk ekoran gempa bumi kuat yang menggegarkan Nepal pada 25 April.

Perpindahan dari Pulchock ke Sanepa di Lalitpur itu bermula sejak Selasa, menurut kenyataan daripada kedutaan.

Berikutan perpindahan itu, pejabat kedutaan mula menyediakan beberapa perkhidmatan terhad seperti mengumpul permohonan bagi pengeluaran visa sosial.

"Bagi visa pekerjaan, kami akan memulakannya semula tidak lama lagi," kata kedutaan menerusi notis yang dikeluarkan.

Malaysia merupakan destinasi paling popular bagi pekerja Nepal.

Sementara itu, dua gempa susulan berukuran lebih 4 pada skala Richter melanda Kathmandu dan kawasan sekitarnya pada Rabu. 

Tiada kerosakan baharu dilaporkan setakat ini.

Gempa susulan pertama dengan magnitud 4.2 dan berpusat di Dolkha, kira-kira 100 kilometer ke timur Kathmandu, melanda pada 11.10 pagi (1.25 tengah hari waktu Malaysia) manakala gempa susulan kedua dengan magnitud 4.4 dan berpusat di Kathmandu, menggegarkan ibu negara Nepal pada 2.47 petang (5.02 petang), menurut Pusat Seismologi Nasional di Nepal.

Lebih 670 gempa susulan direkodkan setakat ini sejak gempa bumi kuat 7.9 Richter menggegarkan Nepal pada 25 April.

Gempa bumi pada 25 April dan gempa susulan pada 12 Mei mengorbankan sekurang-kurangnya 8,600 orang dan mencederakan lebih 17,000 manakala kerosakan harta benda dianggarkan berbilion-bilion dolar.
gempa bumi Nepal, Kathmandu

Artikel Lain