KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Tawau beroperasi semula selepas tergendala akibat kerja penyelenggaraan ke atas peralatan pendaratan di lapangan terbang tersebut, kata Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Sabah, Mahmud Amat Shah. "Lapangan terbang itu beroperasi pada sebelah pagi dan malam, tiada masalah," katanya ketika ditanya mengenai dakwaan penerbangan di sebelah malam menuju ke lapangan terbang itu digantung sementara menunggu kerja penyelenggaraan selesai sehingga 3 Jun ini. Mahmud berkata tiada sebarang masalah dan operasi di lapangan terbang kembali seperti biasa. Pada Rabu, sekurang-kurangnya tiga penerbangan dari dan menuju ke Tawau dibatalkan atau dilencongkan ke Kota Kinabalu kerana masalah peralatan pendaratan. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman memberitahu The Star bahawa peralatan sokongan pendaratan perlu ditentu ukur semula di lapangan terbang tersebut. Beliau berkata penentukuran sepatutnya dilakukan pada minggu lalu tetapi pesawat untuk kegunaan tersebut tidak boleh diselenggara di Sandakan. Tempoh untuk melakukan penentukuran tersebut melepasi tarikh tamat. Azharuddin berkata beliau akan mengkaji rekod kedua-dua peralatan tersebut dan akan memutuskan untuk melanjutkan jangka hidup peralatan berkenaan dan akan membuat keputusan mengenainya pada Khamis.