KUALA LUMPUR: Empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Johor Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu akan dibangunkan sebagai bandar pemangkin pertumbuhan bagi memaksimumkan faedah kepada komuniti setempat dan seterusnya merangsang pembangunan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Empat bandar itu dipilih berdasarkan potensi masing-masing dari segi saiz penduduk, sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ketersediaan infrastruktur utama, pemusatan institusi pengajian tinggi dan kelebihan geografi. RMK11 yang bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Khamis. Seperti yang dinyatakan dalam RMK11, bandar memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara iaitu sebagai hab kewangan dan logistik serta daya penarik bakat untuk menerokai peluang baharu. Hal ini kerana persaingan global bagi pelaburan dan bakat pada masa kini adalah antara bandar-bandar utama yang mampu menyediakan peluang pelaburan dan perdagangan serta meningkatkan keterhubungan dengan kawasan pinggir dan bandar. Pelan induk bagi meningkatkan daya saing empat bandar itu akan direka berdasarkan enam prinsip iaitu meningkatkan kepadatan ekonomi; memperluas pembangunan berasaskan transit (TOD); mengukuhkan pembangunan kluster berasaskan pengetahuan; meningkatkan daya huni; menggalakkan pembangunan dan amalan hijau; dan memastikan inklusiviti iaitu setiap anggota masyarakat mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sosial, politik dan ekonomi. Pelan perancangan bandar berdaya saing itu terkandung sebagai antara teras strategi RMK11 iaitu merekayasa pertumbuhan ekonomi, dan seterusnya akan dirangka oleh pihak berkuasa tempatan bandar melalui perundingan dengan sektor swasta, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain. Oleh itu, empat bandar berdaya saing yang dilihat sebagai pemacu perubahan dalam tempoh RMK11 akan mengalami perubahan dari sudut pertumbuhan ekonomi, kepentingan sebagai hab bakat dan peningkatan daya huni bagi tempoh tahun 2016-2020 dan seterusnya menjadi bandar contoh bagi bandar lain di Malaysia dan Asia. Dalam pada itu kerajaan juga akan memperkukuh koridor ekonomi wilayah bagi merancakkan pembangunan wilayah yang seimbang di seluruh negara. Pada akhir tempoh RMK11 ini, pelaburan yang direalisasi di semua koridor dijangka bernilai RM236 bilion dan sebanyak 470,000 peluang pekerjaan bakal disediakan. Inisiatif utama Wilayah Ekonomi Pantai Timur ialah minyak, gas dan pembuatan, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (pertanian, industri automotif dan aeronautik), Iskandar Malaysia (pelancongan dan hub logistik), Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Lebuhraya Pan Borneo) dan Koridor Pembangunan Sabah (pemprosesan hiliran kelapa sawit). Pembangunan koridor-koridor ekonomi wilayah itu akan ditingkatkan melalui kajian strategik bagi pelan induk pembangunan koridor, menggalakkan pelaburan, menambah baik infrastruktur serta membangunkan bakat dan kemahiran. Langkah ini bertujuan memastikan komuniti setempat terus mendapat manfaat daripada pelaburan dan hasil pertumbuhan ekonomi.