KUALA LUMPUR: Kepakaran veteran tentera yang mempunyai kemahiran khusus seperti risikan amat diperlukan bagi membantu kerajaan mendepani pelbagai ancaman baharu keselamatan pada masa kini. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian perlu bersikap terbuka berhubung penglibatan anggota veteran yang mempunyai kemahiran-kemahiran khusus bagi memastikan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan untuk kepentingan negara. "Diharap pegawai-pegawai dalam kementerian akan lebih inklusif termasuk melibatkan mereka (veteran tentera) yang mempunyai kemahiran khusus ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pada sesi Dewan Rakyat pada Khamis. Ahmad mahu tahu adakah kerajaan membuat pemantauan terhadap veteran-veteran terutama yang mempunyai kemahiran khusus bagi mengetahui apakah aktiviti terkini mereka untuk mengelakkan mereka terjebak dengan perkara tidak baik. Hishammuddin berkata dengan mengupayakan veteran berkemahiran khusus ini juga, ia dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan perkara negatif atau diekploitasi pihak tertentu sehingga menyusahkan negara.