suria

KDNK Malaysia Dijangka Cecah RM2.6 Trilion Pada 2030

KUALA LUMPUR: Malaysia akan kekal sebagai ekonomi terbuka dan lebih berintegrasi dengan ekonomi serantau dan dunia pasca 2020, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir sekali ganda kepada RM2.6 trilion pada 2030 berbanding RM1.4 trilion pada 2020.

Ekonomi akan didominasi aktiviti berintensifkan pengetahuan dan bernilai tambah tinggi, dan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Pada 2030, lebih 40 peratus daripada jumlah pekerjaan akan melibatkan pekerja mahir berbanding kira-kira 35 peratus pada 2020," kata Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan rancangan lima tahun (2016-2020) itu di Parlimen pada Khamis.

Oleh itu, RMK11 merupakan batu loncatan dan asas perjalanan bagi Malaysia, katanya dalam bab bertajuk 'Malaysia Pasca 2020'.

"Pada 2030, KDNK per kapita diunjur meningkat lebih sekali ganda kepada  RM117,260 berbanding RM54,890 pada 2020.

"Ekonomi akan lebih progresif, inklusif, mampan dan sesuai untuk masa depan dengan bandar raya produktif bertaraf dunia dan kawasan luar bandar yang cergas," demikian menurut dokumen RMK-11.

Perdagangan dunia dijangka berkembang kepada US$44 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding US$26 trilion yang diunjurkan bagi 2020.

Pertumbuhan dunia dijangkakan dipacu oleh ekonomi pesat membangun di Asia manakala pusat dagangan beralih ke Timur, katanya.

"Apabila China dan India terus makmur, selain jumlah kelas menengah besar dan semakin mewah, kedua-dua negara itu akan menjadi pasaran utama bagi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia," katanya dan menambah ASEAN bakal menjadi tonggak ketiga Asia dan batu loncatan bagi perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran dunia.

Penambahbaikan sistem perhubungan dengan negara anggota ASEAN juga akan meningkatkan pelaburan, perdagangan dan pelancongan, selain pergerakan bakat merentasi sempadan.

Laporan itu juga menyebut pertumbuhan rancak ekonomi ASEAN, terutama Kemboja, Indonesia dan Vietnam serta negara-negara di utara dan selatan Afrika, yang akan meningkatkan permintaan bagi infrastruktur seperti loji jana kuasa, empangan, pelabuhan, lapangan terbang dan jalan raya.

Ini akan membuka peluang baharu kepada perniagaan Malaysia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam projek infrastruktur dan pembangunan bandar baharu, katanya.
RMK11

Artikel Lain