Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.47 tengah hari Khamis, lelaki dikenali sebagai Ashraful, warga Bangladesh berusia 29 tahun, dan seorang lagi rakannya telah menaiki teksi dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.
"Kedua-dua mereka telah diambil di Pelangi Damansara untuk ke Sunway Giza, Kota Damansara. Semasa melalui jambatan berhadapan kondominium itu, lelaki itu dan rakannya telah bertanyakan berapa tambang teksi dan apabila diberitahu kadar tambang, kedua-dua mereka enggan membayar dan kemudian rakannya terus mencekik leher pemandu teksi itu.
"Keadaan itu menyebabkan pemandu teksi berkenaan memberhentikan kenderaannya dan kedua-dua mereka terus keluar dari teksi. Lelaki itu dilihat terjun dari jambatan, manakala rakannya lari ke arah stesen minyak berhampiran," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.
Mayat dihantar ke hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan rakan lelaki itu, katanya.