KOTA TINGGI: Peluang untuk kesemua 14 kru kapal korek yang hilang selepas karam di perairan Pengerang di sini pada rabu, untuk hidup adalah tinggi, kata Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas. "Jika daya ketahanan badan masing-masing tinggi dalam masa dua hari, kebarangkalian untuk hidup masih tinggi. Bagaimanapun bila masuk hari keempat, peluang mungkin sudah berkurangan," kata beliau kepada pemberita di Jeti Tanjung Pengelih, di sini Khamis. Terdahulu, beliau bersama tujuh pengamal media melawat lokasi kejadian di 8.6 batu nautika Timur Tanjung Punggai, perairan Pengerang di sini menggunakan bot milik APMM. Mustafa berkata usaha untuk menarik badan kapal berkenaan ke pesisiran pantai Tanjung Punggai juga masih dilakukan sejak awal pagi tadi, namun tidak dapat dipastikan bila ia selesai. "Dengan keadaan laut yang bergelora, kami tidak menolak ia memakan masa antara empat hingga lapan jam untuk dibawa ke pesisiran pantai, bergantung kepada kelajuan kapal tunda yang menariknya," kata beliau. Setakat 2.30 petang tadi, APMM gagal menemukan sebarang mayat di lokasi kejadian. Dalam pada itu, Mustafa menafikan kejadian itu berlaku di perairan Singapura, seperti mana yang dilaporkan media di negara itu semalam. "Pagi tadi memang ada laporan itu keluar dalam radio. Namun kami tegaskan ia tidak seperti yang dilaporkan. "Kami telah beritahu Wisma Putra semalam bahawa kejadian itu berlaku di perairan kita," tambahnya. Pada kejadian 4.20 pagi semalam, kapal korek itu yang membawa muatan pasir dari Teluk Ramunia ke Pengerang itu, terbalik selepas dipercayai dilanggar ombak yang besar menyebabkan 14 kru kapal terjatuh ke dalam laut.