suria

Pertambahan Kos Pengambilalihan Konsesi Air Tidak Dibincang - Azmin

Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM: Tiada perbincangan dibuat berhubung sebarang pertambahan kos pengambilalihan syarikat konsesi air Selangor dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada Selasa lepas, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata isu berkaitan kos yang dibangkitkan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) itu juga tidak termasuk dalam keputusan untuk memuktamadkan proses penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Jelasnya, ini adalah kerana kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terikat dengan Perjanjian Induk industri air itu setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan pelaksanaannya.

"Mesyuarat kelmarin (Selasa) sangat produktif namun perkara yang dibangkitkan syarikat itu (PNHB) tidak dibincangkan dengan menteri.

"Apa yang kita bincang adalah langkah untuk memuktamadkan perjanjian tersebut dan kita akan cuba lakukannya sebelum Ramadan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor
(MTES) di sini Khamis.

Pada 11 Mei lepas, Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan PNHB Tan Sri Rozali Ismail menyatakan pihaknya akan mengemukakan pertambahan kos pengambilalihan syarikat itu kepada kerajaan negeri.

Katanya, tindakan itu adalah berikutan pelbagai kesan yang terpaksa ditanggung setelah berlakunya kelewatan beberapa kali dalam proses memuktamadkan perjanjian tersebut oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Rozali berkata penangguhan itu juga menyebabkan penambahbaikan operasi penghasilan air terawat dan pengagihan air tidak dapat dilaksanakan malah pihaknya juga kehilangan banyak peluang pelaburan.

Pada Rabu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata urusan penstrukturan semula industri air Selangor akan diselesaikan dalam tempoh 60 hari dengan menghidupkan kembali Perjanjian Induk tersebut atas persetujuan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Artikel Sebelum

RMK11: Intipati Ucapan PM

Artikel Lain