suria

RMK11 Galak Penggunaan Tenaga Secara Mampan Sokong Pertumbuhan

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memastikan jaminan bekalan tenaga negara di samping menambah baik infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan bagi subsektor minyak dan gas serta subsektor elektrik dalam usaha menggalakkan penggunaan tenaga secara mampan untuk menyokong pertumbuhan.

Bagi menyokong usaha ini, dasar untuk merasionalisasikan subsidi tenaga dan langkah ke arah penetapan harga tenaga berasaskan pasaran akan diteruskan bagi memastikan sumber tenaga digunakan secara optimum, kata Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dalam Dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan pelan RMK11 yang merupakan hala tuju negara untuk lima tahun akan datang di Dewan Rakyat pada Khamis. 

Menurut dokumen itu penggalakan penggunaan tenaga secara mampan untuk menyokong pertumbuhan adalah antara inisiatif utama yang telah dikenal pasti dalam memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Matlamat ini akan dicapai melalui lima strategi, termasuk memperkukuh penyelarasan dan kerjasama pihak berkepentingan dalam sektor tenaga melalui kerjasama institusi yang lebih kukuh dalam perancangan tenaga dan libat urus pengguna akhir dalam penggunaan tenaga yang efisien.

Strategi-strategi lain ialah melalui memastikan jaminan dan keandalan bekalan subsektor minyak dan gas melalui pendekatan berasaskan pasaran; menggalakkan pertumbuhan subsektor minyak dan gas; menguruskan kepelbagaian sumber bekalan bagi jaminan subsektor elektrik; dan, menambah baik kemampanan, kecekapan dan keandalan subsektor elektrik.
tenaga, RMK11

Artikel Lain