KUALA LUMPUR: Buku berjudul Ancestral Home of Tun Tan Siew Sin dihasilkan kerana minat dan ia menceritakan mengenai kisah di sebalik sebuah rumah yang terkemuka pada abad ke-18 di No.111, Jalan Tun Tan Cheng Lock di Melaka. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melancarkan secara rasmi buku tersebut di Hotel Concorde di sini pada Khamis. Buku itu dihasilkan cucu kepada Tun Tan Cheng Lock, Tan Siok Choo dan arkitek, mendiang Chen Voon Fee yang juga antara pengasas Badan Warisan Malaysia serta menampilkan ilustrasi cat air oleh pelukis, Chin Kon Yit. "Buku ini dihasilkan kerana minat mendalam penulis. Ia melalui proses kajian yang terperinci dan lakaran rumah tersebut memberi inspirasi karya seni. "Ia menghidupkan kembali sejarah, tradisi dan budaya nenek moyang Tun Tan Siew Sin yang ada kaitan rapat dengan Melaka. Oleh itu, rumah ini bukan sahaja perlu dipelihara tetapi tradisinya diterjemahkan dalam bentuk penulisan kepada generasi muda untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai pengaruh Baba Nyonya dalam sejarah Melaka," kata Sultan Sharafuddin. Siok Choo, 63, berkata tarikh pelancaran buku tersebut iaitu pada 21 Mac adalah signifikan kerana ia adalah hari lahir bapanya. Bekas Menteri Kewangan dan Presiden MCA itu berusia 99 tahun pada tahun ini. "Saya menulis buku ini untuk mendokumenkan sejarah keluarga Tan dan budaya nenek moyang saya dengan harapan agar empat anak saudara saya akan menghargai sejarah keluarga dan terus berpegang kepada nilai kekeluargaan yang sama. "Antara sebab lain saya menulis buku ini adalah untuk mempamerkan rumah pusaka keluarga Tan (No.111). Tinggalan nenek moyang adalah prinsip utama dalam Confucianisme dan nilai teras dalam keluarga Tan," kata Siok Choo yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Bristol, Britain. Hasil yang diperoleh daripada penjualan buku-buku itu akan didermakan kepada dua badan amal iaitu Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah Selangor dan dana pinjaman Tun Tan Siew Sin di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan, pemimpin kerajaan dan tokoh korporat. Rumah pusaka Tan dibeli oleh Tan Choon Bock, datuk kepada Cheng Lock pada 1875. Choon Bock merupakan cucu kepada Tan Hay Kwan, nenek moyang mereka yang pertama tiba di Melaka antara 1771 dan 1775. Cheng Lock merupakan pemain utama dalam memacu Malaysia ke arah kemerdekaan dan pengasas MCA. Anak lelakinya, Siew Sin, adalah Presiden MCA dari 1961 hingga 1974 dan menteri kewangan yang paling lama memegang jawatan tersebut iaitu bermula 1959 hingga 1974.