suria

Cadangan Tempatkan Pelarian Rohingya Di Pulau Pinang

Khalid Abu Bakar

IPOH: Negeri di utara termasuk Pulau Pinang dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk dijadikan penempatan sementara untuk pelarian Rohingya, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara itu berkata keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan.

"Kami masih menunggu, saya rasa Majlis Keselamatan Negara akan memanggil mesyuarat agensi-agensi yang terlibat dan akan membincangkan lokasi yang sesuai.

"Saya rasa lokasi yang mungkin kita buat ialah di kawasan utara negara kerana mudah untuk memindahkan mereka.

"Mungkin kerajaan boleh melihat untuk mendirikan pusat sementara ini di Pulau Pinang bagi memudahkan semua agensi menguruskan penempatan mangsa pelarian Rohingya ini," katanya pada Jumaat.

Selain itu Khalid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan kehadiran sekumpulan 7,000 pelarian Rohingya tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya langkah berkenaan diambil memandangkan latar belakang individu dalam kumpulan itu tidak diketahui.

"PDRM sentiasa waspada semasa membuat dokumentasi dengan jabatan-jabatan seperti Imigresen bagi memastikan tidak ada elemen yang boleh mengancam keselamatan negara dalam kumpulan itu," katanya.

Khalid Abu Bakar, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Lain