suria

Rosmah Tidak Minta Dipuji, Tapi Jangan Cemuh

Rosmah Mansor

PETALING JAYA: Gara-gara mengkritik Datin Seri Rosmah Mansor, seorang pembantu kepada isteri Perdana Menteri itu menggelar Datuk Zaid Ibrahim sebagai cauvinis.

Menggelar bekas menteri undang-undang itu sebagai 'ahli politik kangaroo', pembantu peribadi Rosmah, Rizal Mansor berkata Zaid sudah melupai nilai moral sebagai rakyat Malaysia.

"Beliau merupakan seorang cauvinis dan mencari publisiti murahan dengan mengkritik seorang wanita yang prihatin dan bersifat keibuan terhadap rakyat Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Rizal, tidak adil Rosmah dicemuh sedangkan wanita berkenaan sentiasa membantu menaikkan nama Malaysia.

"Kita tidak perlu memuji Datin Seri Rosmah, tapi sekurang-kurangnya janganlah dicemuh tanpa berhati perut.

"Dalam proses melangsaikan dendam peribadi beliau terhadap Datin Seri Rosmah, Zaid tidak seharusnya lupa bahawa dia sedang mencemuh seorang wanita yang prihatin dan penyayang. Kesejahteraan rakyat Malaysia adalah keutamaan Datin Seri Rosmah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan Zaid melalui blognya pada 18 Mei lalu bertajuk “The people’s PM” di mana bekas menteri berkenaan menyenaraikan kriteria yang diperlukan bagi seorang perdana menteri dan isterinya.

Mengulas lanjut Rizal berkata Rosmah turut pernah menggunakan hubungan baiknya dengan pemimpin antarabangsa untuk kepentingan rakyat Malaysia termasuk membantu pelajar di Mesir dalam Ops Piramid.

"Datin Seri Rosmah adalah seorang yang bijak dan berani. Beliau juga sungguh vokal dan bijak dalam menjalinkan hubungan rapat dengan individu-individu kenamaan antarabangsa demi memasyurkan nama negara di pentas dunia.

"Sudah tibalah masanya untuk Zaid keluar dari bawah tempurung dan menerima hakikat bahawa isteri Perdana Menteri anda adalah seorang wanita Islam yang berani dan bijak," katanya.

Mengulas mengenai sumbangan Rosmah, Rizal berkata isteri Perdana Menteri itu juga pernah membantu menyelamatkan seorang pelajar Malaysia di Mesir yang ditahan kerana disyaki sebagai perisik.

"Datin Seri Rosmah Mansor, tanpa mengenali pelajar tersebut telah segera membuat panggilan kepada isteri presiden Mesir ketika itu (Suzanne Mubarak) dan dalam masa dua jam pelajar itu dibebaskan dan boleh pulang meneruskan pengajian.

"Sudah tentu Zaid sebagai seorang peguam dan bekas menteri akan melompat kangaroo dengan mengatakan bahawa perkara ini harus dilaksanakan oleh Kementerian Luar Negeri dan pegawai-pegawai yang berkenaan.

"Datin Seri mengambil inisiatif ini atas naluri keibuan beliau. Lebih-lebih lagi perkara ini diselesaikan tanpa publisiti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan