suria

ISC Belum Muktamad – Imigresen

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menegaskan sistem Tapisan Keselamatan Imigresen (ISC) belum diputuskan untuk dilaksanakan sepenuhnya Jun ini kerana ia masih di fasa ujian rintis.

ISC yang mengenakan caj RM105 itu dijangka bakal menimbulkan kontroversi terbaharu di kalangan majikan yang mengambil pekerja asing selepas pelbagai isu yang timbul susulan penggunaan sistem dalam talian, MyEG untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), selain peningkatan kos untuk proses Visa Dengan Rujukan (VDR).

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, tempoh ujian selama sebulan bagi ISC itu bermula 4 Mei lalu sehingga 4 Jun depan dan percubaan tersebut tidak melibatkan sebarang caj kepada majikan.

Menurutnya, keputusan untuk menguatkuasakan pelaksanaan sistem tersebut belum ditetapkan walaupun selepas tempoh ujian rintis itu berakhir.

“Tak pasti lagi, kita lihat prestasi pelaksanaannya sepanjang tempoh projek perintis ini. Ia masih dalam peringkat percubaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

mStar Online melaporkan isu ISC dibangkitkan oleh persatuan pekerja asing dan majikan termasuk kedutaan asing apabila akan mengenakan caj sekiranya dilaksanakan.

Difahamkan, sistem yang mengenakan caj RM105 ini akan diwajibkan untuk setiap permohonan pekerja asing Indonesia, India, Bangladesh, Filipina dan Vietnam sebagai usaha bagi meningkatkan langkah keselamatan.

Farah Adura berkata, ISC itu bertujuan untuk membuat saringan awal bagi mana-mana pekerja asing di dalam senarai syak atau senarai hitam oleh Imigresen.

Menurutnya, pekerja asing yang berada di dalam senarai berkenaan sebelum ini akan ditolak kemasukan sewaktu tiba di Malaysia.

Pada masa sama, ia turut menangani pertikaian majikan mengenai pekerja asing yang memperoleh VDR tetapi ditolak kemasukannya yang bertujuan mahu bekerja di negara ini.

“Segelintir majikan dan agensi pekerjaan juga ada yang ‘main ambil’ sahaja pekerja asing untuk bekerja tetapi bila sampai ke negara kita, mereka sebenarnya bermasalah.

“Disebabkan masalah-masalah ini, kami lihat adanya keperluan untuk mengadakan saringan awal di negara mereka sendiri,” kata Farah Adura.

Beliau menambah, ‘sistem saringan awal’ di negara asal itu memberi keyakinan kepada pekerja asing untuk datang ke sini tanpa berhadapan sebarang masalah.

Mengulas lanjut mengenai tempoh percubaan ISC, Farah Adura berkata, sebanyak lima daripada 16 negara sumber yang dipilih berdasarkan bilangan tertinggi pengambilan pekerja asing di negara ini.

Mengenai caj RM105 yang menjadi punca rungutan dan bantahan banyak pihak terutama majikan, beliau mengulangi kenyataannya yang terdahulu bahawa tiada bayaran yang dikenakan sepanjang tempoh ujian rintis.

“Mereka (majikan) tidak perlu buat sebarang bayaran sekarang. Bila ia benar-benar dilaksanakan, barulah mereka perlu buat pembayaran.

“Tetapi sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan, mereka perlu mengemukakan perkara itu kepada kerajaan dan bukannya denganImigresen,” katanya sambil merujuk bahawa Imigresen merupakan agensi pelaksana, manakala kerajaan sebagai pembuat dasar.

 

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan