suria

PDRM Sedia Laksana Dasar Kerajaan Hulur Bantuan Kemanusiaan Kepada Pendatang

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan apa juga dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang masih terkandas di laut, dilaksana. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata apabila kerajaan telah membuat dasar sedemikian, pihaknya akan memastikan dasar berkenaan akan dilaksanakan dengan sempurna.

"Kita bersama agensi yang lain akan mengadakan pertemuan dan berbincang  mengenainya termasuk akan mengenal pasti kawasan (tempat) perlindungan sementara. 

"Kalau kerajaan telah membuat dasar untuk menerima 7,000 pendatang, jadi, semestinya tempat akan disediakan dan kita akan membantu dari segi melaksanakan dasar itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di sini, Khamis.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bahawa Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang masih terkandas di laut.

Pengumuman itu terkandung dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman selepas bermesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi dan Jeneral Tanasak Patimapragorn dari Thailand di Putrajaya pada Rabu bagi menangani masalah kebanjiran pendatang.

Anifah berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menyediakan tempat perlindungan sementara dengan syarat proses penempatan semula dan penghantaran pulang dijalankan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.

Katanya pada masa yang sama, Malaysia dan Indonesia mempelawa negara-negara lain di rantau itu untuk mengambil bahagian dalam usaha ini.

Khalid Abu Bakar, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan