PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan memberi jaminan akan terus memantau isu beras palsu atau beras plastik yang didakwa sudah memasuki pasaran tempatan dengan jenama tertentu. Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya juga akan terus mengemaskini maklumat sekiranya terdapat perkembangan baharu mengenai isu berkaitan keselamatan makanan itu. "Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan pengguna yang bimbang dan curiga mengenai keaslian beras supaya memaklumkan kepada Kementerian sama ada melalui pejabat kesihatan yang terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM): http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhg," katanya dalam satu kenyataan. Jelas beliau, pihaknya sedar mengenai berita yang tersebar di laman sosial bahawa beras palsu dihasilkan di China dengan mencampurkan kentang atau ubi keledek dengan resin plastik. Menurutnya, beras tersebut didakwa sudah dieksport ke beberapa negara Asia. "Maklumat melalui media menunjukkan bahawa beras tiruan ini boleh dibezakan kerana rasa nasi lebih keras selepas dimasak dan lapisan seperti sarung plastik terbentuk apabila nasi dimasak," katanya. Dr Noor Hisham menegaskan resin plastik biasanya digunakan sebagai bahan pembungkusan makanan dan tidak pernah ditambah ke dalam makanan untuk dimakan atas apa jua alasan. "Jika dakwaaan tersebut benar, ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna," katanya. Dalam pasaran China, Beras tersebut dipercayai dijual di Taiyun di wilayah Shaanxi. Terdahulu, rakaman video mengenai kewujudan beras palsu yang dihasilkan di China menjadi viral di media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp. Sementara itu, Noor Hisham menegaskan berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas), kebanyakan beras yang diimport Malaysia adalah dari Vietnam, Thailand dan Pakistan. Beliau berkata, beras yang diimport dari China pula hanya kira-kira 10 tan metrik pada tahun lalu dan untuk tahun ini sehingga April lalu sebanyak 22 tan metrik. “Import beras dari China ini dibuat berdasarkan permintaan pemborong bagi beras jenis japonica iaitu beras digunakan di restoran Jepun dan Korea. Jumlah beras yang diimport dari China juga kecil iaitu kira-kira 0.01 peratus berbanding jumlah keseluruhan import beras sebanyak 800,000 tan metrik,” katanya.