SIBU: Kutipan tol Jambatan Lanang di sini dihentikan secara rasmi tepat jam 12.00 tengah hari Ahad, sehari lebih awal dari jadual. Majlis pemansuhan kutipan tol di jambatan yang menyeberangi Batang Rajang itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dengan dihadiri lebih kurang 5,000 orang. Adenan dalam ucapannya, menegaskan pemansuhan kutipan tol itu tiada kaitan dengan desakan oleh parti pembangkang DAP tetapi sebaliknya adalah persetujuan rundingan antara pemegang konsesi Woodville Development Sdn Bhd dan kerajaan negeri. Menurutnya, pemilik syarikat itu Tan Sri Ling Chiong Ho dan ahli keluarganya telah bersetuju tanpa mengenakan sebarang syarat untuk memansuhkan kutipan tol itu. Syarikat itu juga akan menderma kuarters pekerja untuk dijadikan Klinik 1Malaysia," katanya. Turut hadir ialah, Menteri Kerja Raya Persekutuan Datuk Fadhilah Yusuf, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Michael Manying dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar. Jambatan Lanang sepanjang 1.2 km dibina dengan kos RM180 juta pada tahun 2003 oleh Woodville Development Sdn Bhd, anak syarikat milik konglomerat Shin Yang Group, mula dibuka kepada pengguna-pengguna kenderaan pada 11 April 2006. Sementara itu Adenan berkata, pemansuhan kutipan tol di Asean Bridge, Baram hanya bagi kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia berkuatkuasa 1 Jun ini manakala kenderaan yang didaftarkan di Brunei masih lagi perlu membayar tol. Adenan turut mengumumkan syarikat yang membina jambatan menyeberangi Batang Igan di sini iaitu KTS Group juga telah menyatakan persetujuan untuk tidak mengenakan tol. Perkhidmatan feri di sungai-sungai di negeri ini pula hanya akan mengenakan bayaran sebanyak RM1. Selain itu, Adenan mengumumkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM5.7 juta bagi menaik taraf dan menyelenggarakan pelbagai kemudahan infrastruktur di bandar ini seperti Dataran Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang (Dataran Bandar Sibu), Taman Selera Harmoni. Pembinaan sistem perparitan bagi tiga penempatan semula iaitu Kampung Bahagia Jaya Teku, Kampung Jariah dan Kampung Bahagia Jaya, Sentosa, dan menaik taraf Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.