PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan mana-mana individu yang terbabit dengan penyebaran video ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis tertutup sebagai mempunyai agenda untuk memecahbelahkan pimpinan parti itu. Beliau berkata isu yang dibangkitkan oleh Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno itu bukan satu isu yang baharu tetapi sering dibangkitkan dalam mesyuarat biasa. "Itu adalah ucapan dalam satu majlis tertutup Umno. Sepatutnya tidak dijadikan satu polemik sebab itu ucapan daripada timbalan presiden kepada ahli-ahli parti. "Siapa saja yang telah membocorkan rakaman tersebut mungkin ada agenda sendiri untuk mengadu domba pemimpin-pemimpin kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di Singapura di sebuah hotel di sini Ahad. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas video berdurasi tujuh minit yang tersebar di internet menunjukkan Muhyiddin mahu semua anggota lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipecat. Rakaman itu diambil ketika Muhyiddin menghadiri satu program tertutup Umno. "Saya sebagai ahli Umno, Saya tidak fikir ini isu besar. Ini adalah ucapan di peringkat dalaman untuk anggota dalaman parti. "Kita perlu bercakap mengenai isu-isu dalam parti dan ini tidak bermakna ada petunjuk awam mengenai sebarang perkara. Ia hanya antara kita berbincang isu-isu dalaman," kata Khairy. Sementara itu, berhubung isu 1MDB, beliau kekal dengan pendirian bahawa ia perlu melalui proses siasatan yang dijalankan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). "Kita semua bersetuju bahawa siasatan dan pendengaran perlu dilakukan. Kita semua bersetuju dengan perdana menteri bahawa ini adalah prosedur yang betul dan proses untuk mengetahui jika sebarang transaksi itu bermasalah," katanya.