KANGAR: Malaysia menyambut baik tindakan kerajaan Turki membantu pelarian Rohingya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
"Saya sungguh kesal kerana Myanmar mempunyai pemimpin yang pernah menang Anugerah Nobel. Adalah wajar anugerah itu ditarik balik," katanya merujuk kepada pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, yang juga aktivis hak asasi manusia di negara itu.
Di MELAKA, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata Kerajaan Myanmar mempunyai tanggungjawab untuk memelihara dan menyelesaikan isu hak asasi manusia melibatkan masyarakat Rohingya.
Ini adalah kerana masyarakat Rohingya merupakan warganegara Myanmar sendiri, kata beliau.
"Kerajaan Myanmar perlu mengambil langkah pro-aktif untuk menyelesaikan isu masyarakat Rohingya yang kini telah menjadi perhatian antarabangsa," kata anggota Dewan Negara itu pada Ahad.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Antarabangsa Mengenai Tindakan Belia dan Perubahan Iklim anjuran Yayasan Belia Dunia yang dipengerusikannya.
Mohd Ali berkata DMDI bercadang untuk mengutus surat kepada Kedutaan Myanmar di Malaysia pada Isnin (25 Mei) bagi meminta kerajaan Myanmar mengambil tindakan segera menyelesaikan krisis kemanusiaan terhadap masyarakat Rohingya.
Beliau berkata badan dunia yang lain seperti UNHCR dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga perlu memainkan peranan dalam isu pelarian Rohingya.
Bengkel selama empat hari bermula 21 Mei itu diikuti seramai 92 peserta dari 25 negara termasuk Indonesia, Nigeria, Brunei, Filipina dan India.