suria

Tiga Pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Larikan Diri

IPOH: Polis sedang giat mengesan tiga pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop yang melarikan diri sejak awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Wan Jamil Wan Chik berkata ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Mohd Sobri Abd Manaf, 32; Shahizuan Ahmad Saad, 28; dan Mohd Firhan Norizan, 23; yang dipercayai melarikan diri kira-kira pukul 5 hingga 6.30 pagi.

"Kejadian disedari selepas polis bantuan yang sedang melakukan rondaan kawalan di pusat itu ternampak kayu dan kain selimut yang tersangkut di pagar belakang pejabat pentadbiran pusat tersebut.

"Pemeriksaan kemudian dilakukan di setiap asrama mendapati ketiga-tiga mereka tiada di asrama masing-masing dan dipercayai melarikan diri dengan memanjat pagar semasa kesemua pelatih keluar untuk menunaikan solat subuh," katanya ketika dihubungi.

Wan Jamil berkata seorang pelatih dipercayai mengalami kecederaan kerana terdapat kesan darah di pagar, mungkin akibat tersangkut pada duri yang dipasang sepanjang pagar pusat berkenaan.

Puspen, Polis

Artikel Lain