suria

Pengurusan Tertinggi 1MDB Tidak Akan Lari - PM

Najib Razak

SENDAI: Pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan lari daripada menghadiri prosiding siasatan yang dikendalikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua Presiden 1MDB sekarang, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Halmi telah memberi jaminan mereka akan menghadiri prosiding itu.

"Mereka akan hadir. Mereka tidak akan lari.

"Mereka hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog bersama pelajar Universiti Tohoku di sini, Selasa.

Shahrol adalah CEO pertama 1MDB sehingga meninggalkan syarikat berkenaan untuk menyertai Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu).

Beliau menjadi CEO syarikat itu dari Februari 2009 hingga Mac 2013, manakala Arul mengambil alih daripada CEO, Mohd Hazem Abdul Rahman pada Januari tahun ini.

The Star melaporkan, Arul mempunyai urusan berkaitan syarikat di luar negara dan tidak dapat menghadiri sesi PAC, manakala Shahrol pula dikatakan memohon penangguhan sebulan untuk membuat persiapan sebelum prosiding itu.

PAC, 1MDB, Arul Kanda

Artikel Lain