KUALA LUMPUR: Empat warga asing yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas dikesan melakukan jenayah samun di sekitar ibu negara membabitkan mangsa di kalangan pelancong luar negara. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, warga asing yang menggunakan pas pelancong itu dicekup dalam dua Ops Khas di Petaling Jaya dan Jalan Tun Tan Cheng Lock, minggu lalu. "Kita menahan empat warga asing iaitu seorang warga Tunisia dan tiga orang lagi warga Pakistan dalam sekatan jalan raya Ops Khas di dua lokasi berbeza dan menemui pelbagai mata wang asing. "Mengikut siasatan, mereka menyamar sebagai polis dan menunjukkan kad merah atau hijau kepada mangsa yang terdiri daripada pelancong India, Pakistan, Iran, Iraq dan negara sekitar yang boleh berbahasa Urdu dan Hindi," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini, Selasa. Tambahnya, suspek melakukan jenayah samun tersebut secara berkumpulan menggunakan pelbagai jenis kereta sewa. "Kumpulan ini dipercayai dianggotai lebih lapan orang dan kesemuanya warganegara Pakistan, namun ada yang memiliki pasport Tunisia. "Polis masih menyiasat ketulenan pasport mereka dan sepanjang 2014 dan 2015 sebanyak 21 kes dikesan melibatkan samun warga asing dengan modes operandi sama," ujarnya. Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan menyamar sebagai penjawat awam. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.