suria

Pemuda Umno Mahu Pelan Selesaikan Masalah 1MDB Bersifat Jangka Masa Panjang

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno berharap pelan holistik bagi menyelesaikan masalah syarikat pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan dibentang pada Jumaat ini bersifat jangka masa panjang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda Umno tidak mahu pelan tersebut hanya bagi menyelesaikan hutang ditanggung kerajaan ketika ini.

"Kita harap pelan jangka masa panjang dibentang untuk memulihkan 1MDB dan bukan sekadar selesaikan hutang sahaja supaya syarikat ini tidak terus menjadi beban kepada kerajaan.

"Saya merupakan seorang daripada panel yang akan mendengar pembentangan itu pastinya mahukan satu pelan terbaik untuk jangka masa panjang," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini pada Selasa.

Menteri Belia dan Sukan itu menambah, Pemuda Umno juga mahukan satu siasatan menyeluruh dan komprehensif dilakukan terhadap 1MDB bagi menjawab segala tomahan dan spekulasi masyarakat.

"Kita harap skop siasatan mestilah menyeluruh dan Jho Low perlu dipanggil dan disiasat. Maksudnya apa sahaja spekulasi mesti dijawab menyeluruh.

"Pemuda mahu isu ini dapat diselesaikan segera bagi mengelak spekulasi berterusan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Khairy memberitahu, Pemuda Umno akan berusaha membersihkan nama baik dan imej parti itu mengenai persepsi rakyat berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Pemuda akan mengadakan hari terbuka untuk mendengar luahan rakyat terhadap perlaksanaan GST kerana sejak ia dilaksanakan terlalu banyak aduan yang kita terima.

"Kita akan menjemput pihak-pihak dan agensi yang terlibat dengan perlaksanaan cukai seperti Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta beberapa persatuan peniaga dan pengguna," ujarnya.

Tambah beliau, program yang bakal diadakan sebelum Ramadan itu bertujuan mendapatkan maklumat bagi penambahbaikan sistem tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau akan bertemu dengan Kesatuan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)pada Rabu bagi membantu membela nasib mereka.

Katanya, pemuda prihatin dengan nasib pekerja-pekerja yang bakal diberhentikan oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan cuba untuk membantu mereka mencari pekerjaan baharu di syarikat berkaitan kerajaan lain.

Pemuda Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain