KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan dua saksi kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak hadir prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sepatutnya diadakan Selasa sebagai satu penghinaan. Malahan, katanya, alasan yang diberikan juga seolah-olah ada sesuatu yang mahu disembunyikan. Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilaporkan berada di luar negara atas tugas rasmi, manakala bekas CEO syarikat itu, Shahrol Halmi pula meminta penangguhan sebulan sebagai persediaan untuk prosiding itu. Justeru, PAC terpaksa menangguhkan pertemuan dengan kedua-duanya sehingga tarikh yang ditetapkan kelak. "Ini adalah peluang untuk mereka buktikan bahawa tiada apa yang sedang disembunyikan. Saya rasa Arul perlu dijejaki. "Cari di mana dia berada dan apa yang sedang dilakukannya. Adakah alasan tersebut wajar untuk dia ponteng sesi pendengaran bersama PAC," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Selasa. Malah, Kit Siang turut membidas tindakan Shahrol yang meminta masa tambahan untuk mempersiapkan diri menghadiri sesi pendengaran PAC. "Sepatutnya PAC menjadi keutamaan pada masa ini," katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng meminta PAC mengambil tindakan terhadap 1MDB kerana kegagalan kedua-dua saksi penting itu hadir untuk siasatan tersebut. Jelas beliau, PAC wajar menggunakan peruntukkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau mendenda kedua-dua individu tersebut RM1,000 setiap hari. Katanya, PAC juga boleh membuat tangkapan ke atas mereka sehingga hadir ke siasatan jawatankuasa tersebut. "PAC perlu mengambil tindakan tegas ke atas mereka kerana menghina institusi Parlimen serta sikap remeh terhadap dana berbilion ringgit," katanya. Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin turut menyifatkan alasan Arul sebagai tidak masuk akal. “Dia sepatutnya tahu mesyuarat itu penting untuk dihadiri dan memberitahu apa sebenarnya yang berlaku dalam 1MDB,” kata Bung Mokhtar.