KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno bersetuju jika perakam video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah majlis tertutup perti itu minggu lalu dikenakan tindakan tegas. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, merakam dan menyebar ucapan yang mengkritik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dianggap sebagai mendedahkan rahsia parti kepada umum dan perlu diambil tindakan tegas. "Ia bukan kesalahan jenayah tetapi perkara itu melanggar tata kerahsiaan parti dan pihak yang melakukan tindakan perkara itu perlu dikenakan tindakan dalaman," ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno, di Menara Dato' Onn, di sini, Selasa. Khairy turut mengulas bahawa pendapat Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai tidak bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana penyebar video berkenaan bukan melakukan kesalahan jenayah. "Jangan salah tafsir kenyataan Shafie dan Zahid, saya jelaskan di sini Shafie kata ia bukan kesalahan jenayah, manakala Zahid kata tindakan yang akan diambil adalah tindakan dalaman parti," ujarnya.