suria

APMM Belum Temui Bot Bawa Pati Bangladesh, Rohingya

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih belum menemui bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) Bangladesh dan Rohingya sejak memulakan operasi mencari dan menyelamat seminggu lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Tan Kok Wee berkata operasi yang bermula sejak 20 Mei lepas itu telah merangkumi kawasan seluas lebih 10,300 kilometer persegi.

"(Walaupun belum menemui kumpulan Pati) kita akan terus menjalankan operasi sehingga kita mendapat arahan (lain) dari pihak atasan," katanya kepada media semasa operasi itu yang menggunakan kapal peronda KM Malawali di perairan Langkawi pada Rabu.

Menurutnya operasi turut melibatkan tiga buah kapal dan lima buah bot selain sebuah pesawat udara Bombardier dan helikopter Dauphin.

"Jumlah anggota yang terlibat adalah di antara 150 orang dan 200 orang sehari," katanya.

Tan berkata setiap bot yang terlibat dalam operasi juga turut membawa bekalan makanan dan minuman yang akan diagihkan kepada kumpulan Pati sekiranya mereka ditemui.

Katanya APMM juga menerima bantuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan bekalan makanan serta minuman.

Sepanjang operasi, beliau berkata keluasan kawasan pencarian dan kedudukan Langkawi yang agak dekat dengan sempadan perairan Malaysia-Thailand menjadi cabaran kepada anggota APMM.

"Saya rasa (cara) yang terbaik (mengatasi cabaran ini) adalah (dengan menggunakan lebih banyak) pesawat udara sebab (dengan skop) pandangan yang (lebih) luas ia dapat kesan bot dari jarak yang jauh," katanya.

Menurutnya, APMM turut mengharapkan kerjasama berterusan dari komuniti maritim tempatan untuk menyalurkan maklumat berhubung kehadiran bot yang membawa pelarian. -- BERNAMA

APMM, Pati Bangladesh, Rohingya

Artikel Berikut

Artikel Lain