suria

1MDB Terlibat Pengubahan Wang Haram? - Tun M

Dr Mahathir mempersoalkan sama ada 1MDB terlibat dalam pengubahan wang haram di Kepulauan Camay.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad terus mempersoalkan mengenai isu baki pelaburan 1Malaysia Development Berhad yang disimpan di BSI Bank Limited Singapore (BSI).

Kali ini bekas perdana menteri itu membangkitkan keraguan sama ada pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman sebelum ini terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Menurut Dr Mahathir, keputusan kerajaan memindahkan baki pelaburan 1MDB sejumlah AS$1.1 bilion (RM4.022) bilion dari Kepulauan Camay ke Singapura dengan alasan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengganggu urusan aliran wang perlu dipersoalkan.

"Setahu saya bank-bank telah diarah menyoal urusan yang lebih daripada RM50,000. Jika urusan tidak ada kaitan dengan money laundering iaitu yang didapati secara haram, ia tidak jadi masalah.

"Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan money laundering sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura?

"Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah money laundering. Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS)?" soalnya pada Khamis.

Menerusi posting terbaharu di blog chedet.cc itu, Dr Mahathir sekali lagi mempersoalkan mengenai kewujudan baki simpanan 1MDB di BSI.

"Atau apakah tujuan sebenar ialah untuk berbohong berkenaan penyimpanan wang di Singapura, iaitu sebenarnya tidak ada wang yang disimpan di sana. Bahawa wang sebanyak lebih satu billion US dollar sudah hilang.

"Jika tidak dapat dibuktikan wang ini ada di Singapura, maka sekali lagi pegawai dan menteri bersalah kerana membohong," katanya.

Selain itu Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun turut meragui tindakan BNM yang enggan mendedahkan mengenai laporan MAS berhubung pelaburan 1MDB.

"Berkenaan dengan Bank Negara enggan memberi maklumat berhubung laporan kepadanya oleh MAS, jika ini didapati melindungi pembohongan berkenaan wang 1MDB yang dikatakan berada di Singapura, ini juga merupa satu jenayah dibawah undang-undang jenayah negara," katanya.

Sebelum ini BNM mengesahkan menerima laporan daripada MAS berkaitan pelaburan 1Malaysia Development Berhad dengan Bank BSI di negara itu.

Bagaimanapun Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata laporan itu adalah sulit dan tidak dapat dikongsi dengan umum.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan