suria

Kem PLKN Sudah Bersedia Untuk Terima Pelarian Rohingya

PETALING JAYA: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak digunakan buat masa ini telah bersedia untuk dijadikan lokasi penempatan kepada 7,000 pelarian Rohingya yang masih berada di perairan antarabangsa buat masa ini.

Kem ini telah dicadangkan sebagai pilihan yang paling sesuai selepas diambil kira aspek kemudahan bangunan sedia ada, kemudahan perubatan dan kawalan keselamatan termasuk keanggotaan pegawai yang akan ditugaskan mengawalnya kelak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis mengesahkan di Gemas yang Kem PLKN akan digunakan untuk menempatkan pelarian Rohingya. Buat masa ini, dua kem yang telah dipilih ialah di Kem PLKN Rimba Taqwa, Sik dan Kem PLKN Rekreasi Belia, Baling.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusof ketika dihubungi mStar Online berkata mereka sudah bersedia untuk menerima pelarian Rohingya.

"Kita telah berunding dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kita akan bertindak atas arahan MKN.

"Semua kem kita sudah bersedia menerima mereka. Tapi saya rasa ada beberapa kem seperti di sekitar Kedah dan Pulau Pinang yang sesuai untuk tujuan ini sebab lokasinya yang dekat dengan depot tahanan pada masa kini dan ia lebih mudah untuk pemindahan dilakukan," katanya.

Menurut Asri, operator kem dan kakitangan JLKN kini berada dalam keadaan bersedia sekiranya pelarian Rohingya dibawa masuk ke kem-kem PLKN.

"Cuma bezanya, menguruskan pelarian atau pendatang asing mestilah mengambil kira elemen-elemen keselamatan dan melibatkan beberapa jabatan serta agensi yang lain seperti polis dan Jabatan Imigresen," katanya.

Menurutnya, pemilihan kem PLKN tidak akan menjejaskan program JLKN sendiri kerana ia hanya untuk tempoh yang terhad.

"Tak ada masalah apa-apa. Setahun sahaja dan tak melibatkan banyak kem. Ia tak menjejaskan apa-apa termasuklah PLKN sendiri," kata Asri.

Sementara itu satu sumber lain memberitahu mStar, Kem PLKN bersesuaian kerana ia sudah mempunyai kemudahan asas dan perubatan serta boleh mendapatkan anggota tentera membuat kawalan keselamatan berikutan ia dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Pertahanan.

"Jika kerajaan memutuskan untuk menggunakan kem PLKN, ia perlu diwartakan terlebih dahulu sebagai pusat perlindungan sementara untuk pendatang asing," kata sumber berkenaan lagi.

Beliau menambah, apapun cadangan yang dikemukakan untuk penempatan sementara itu seharusnya mempunyai kemudahan asas yang lengkap tanpa melibatkan kos tambahan kepada kerajaan.

"Pelarian Rohingya ini juga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, jadi tidak sesuai untuk menempatkan mereka di khemah-khemah. Pembinaan penempatan di bangunan baharu pula melibatkan kos yang tinggi selain akan menimbulkan masalah mencari lokasi bersesuaian.

"Sebagai contoh, jika kita menggunakan penempatan sementara di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram) di Pulau Langkawi yang menjadi kawasan pengumpulan sementara bagi 1,158 pendatang Rohingya dan Bangladesh baru-baru ini, ia adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai kemudahan asas selain mempunyai masalah logistik untuk penghantaran makanan dan minuman kerana kedudukannya yang terpencil dan berbukit. Ia akan melibatkan kos tambahan," katanya sambil menambah bahawa depot tahanan imigresen dan kem PLKN dapat menyediakan kemudahan asas, makanan dan minuman selain kawalan keselamatan.

"Sama ada depot tahanan imigresen atau kem PLKN, ia bergantung kepada kerajaan untuk membuat keputusan muktamad," katanya.

Keputusan untuk mewujudkan satu kawasan petempatan sementara untuk 7,000 pendatang dari Rohingya ini dibuat selepas pertemuan antara wakil-wakil Malaysia, Indonesia dan Thailand pada minggu lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyediakan tempat perlindungan sementara itu untuk digunakan dalam tempoh setahun sebelum mereka diputuskan untuk dihantar ke negara mana.

Sehubungan dengan itu Kementerian Luar telah memohon cadangan daripada agensi-agensi berkaitan berhubung penempatan sementara untuk menampung pendatang asing tanpa izin itu.

Sebelum ini, Depot Tahanan Imigresen menjadi pilihan utama berdasarkan pengalaman dan pengurusan Jabatan Imigresen menguruskan pendatang asing di negara ini yang ditahan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Tumpuan utama adalah di Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik di Kedah atas faktor logistik berikutan ia terletak paling hampir dengan perairan di utara. Tetapi kerajaan juga turut melihat keperluan mengisi baki pelarian Rohingya di depot tahanan lain memandangkan jumlah mereka melebihi daripada kapasiti di Depot Tahanan Belantik.

Sementara itu, sumber Jabatan Imigresen pula berkata, mereka juga telah bersedia sekiranya Depot Tahanan Imigresen dijadikan pilihan untuk menempatkan pelarian Rohingya berdasarkan pengalaman mereka menangani isu kedatangan 1,158 etnik Myanmar dan juga warga Bangladesh di Langkawi baru-baru ini.

"Jika melihat pada kedudukan yang paling sesuai, sebagai contoh sekiranya sebahagian daripada 7,000 pelarian itu mendarat di Langkawi atau kawasan berhampiran, sudah tentu Depot Tahanan Imigresen di Belantik yang paling dekat dan bakinya boleh ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Langkap, Perak," katanya.

Ditanya adakah depot tahanan dapat menampung sekurang-kurangnya separuh daripada 7,000 pelarian itu, sumber Jabatan Imigresen berkata: "Boleh, dengan syarat kita ambil tindakan pantas dengan mengusir segera pendatang asing yang masih ditahan di depot-depot tahanan berkenaan."

Ini kerana katanya, 12 depot tahanan Imigresen di seluruh negara kini sudah agak sesak.

Pada masa ini, terdapat seramai 13,321 tahanan di 12 depot tahanan imigresen di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, 4,531 adalah terdiri daripada etnik Rohingya manakala 1,466 lagi Bangladesh.

PLKN, Rohingya

Artikel Berikut

Artikel Lain