suria

Pegawai Bersekongkol Mungkin Tidak Sedar Wujud Pembunuhan Di Kem

Datuk Seri Shahidan Kassim
ALOR SETAR: Pegawai yang disyaki bersekongkol dengan penyeludup manusia yang bertanggungjawab ke atas kubur besar berhampiran sempadan Malaysia-Thailand mungkin tidak menyedari wujudnya kegiatan pembunuhan di sebalik aktiviti tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka mungkin telah didorong oleh wang yang dapat diperolehi dengan senang dan cepat dan tidak menyedari tentang pembunuhan beramai-ramai serta penyeksaan yang berlaku di kem-kem tahanan.

"Sesiapa yang mengetahui apa yang berlaku di kem tahanan atau sedar mengenai sindiket penyeludupan manusia harus tampil ke hadapan.

"Ramai daripada mereka mempunyai peranan kecil dalam membenarkan sindiket itu beroperasi, tetapi mereka tidak tahu tentang berlakunya pembunuhan dan penderaan.

"Sekarang mereka pastinya mempunyai mimpi buruk," kata Shahidan kepada pemberita selepas majlis penutup Forum Serantau Latihan Bantuan Bencana Asean, di sini, Khamis.

Pihak berkuasa pada awal minggu ini mengesahkan penemuan 139 kubur di 28 kem tahanan penyeludupan manusia berhampiran Wang Kelian, Perlis.

Kubur-kubur dipercayai menempatkan mayat mangsa warga Bangladesh dan Myanmar yang cuba memasuki Malaysia melalui Thailand.

Artikel Lain