suria

Penantian Ibu Tiga Anak Selama 13 Tahun Tercapai

KUALA LUMPUR: Penantian seorang ibu kepada tiga anak untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Muda di sini sejak 13 tahun lalu akhirnya tercapai apabila dia merupakan antara 10 penerima kunci rumah tersebut pada Rabu.

Puteri Nurasyikin Ismail, 47, berkata, angan-anganya untuk memiliki rumah bantuan berkenaan tidak pernah hilang sejak membuat permohonan pada 2002.

"Hari ini saya terima kunci rumah. Saya bersyukur kerana penantian sejak 2002 akhirnya tercapai, 13 tahun itu bukan satu tempoh yang pendek untuk dinanti.

"Saya berasa amat teruja dan tidak sangka akan dipilih untuk menerima kunci rumah PPR ini, saya berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian ini," katanya selepas menerima kunci rumah daripada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, Khamis.

Bercerita lanjut, kerani sebuah syarikat swasta itu memberitahu, bantuan perumahan itu dapat membantu meringankan beban sara hidup yang kian meningkat ketika ini.

Selain itu, Nurasyikin turut meluahkan kegembiraan kerana dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini di rumah baharu.

Seorang lagi penerima kunci rumah PPR di Batu Muda, K Kumar, 52, berkata, dia bersama isteri dan lima anak kini mendapat kediaman yang lebih selesa atas ihsan kerajaan.

"Saya gembira kerana mendapat sebuah rumah yang lebih selesa untuk anak-anak dan isteri. Ini sudah cukup bagi kami dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan," ujarnya.

PPR, Rumah

Artikel Lain