suria

Bekas Model 'Berkejar Masa' Selepas Diperintah Ke Hospital Bahagia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat memerintahkan bekas model sambilan yang dituduh menanggalkan bajunya di khalayak ramai baru-baru ini, menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor mengeluarkan perintah itu terhadap Persana Avril Sollunda, 33, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan  sekiranya tertuduh gagal berbuat demikian pada Jumaat, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap dan membatalkan jaminannya.

"Saya akan menelefon pihak hospital, jika tidak ada sebarang pendaftaran masuk hari ini, saya akan mengeluarkan waran tangkap dan batalkan jaminan," kata Majistret itu.

Pada lewat petang Jumaat, The Star Online melaporkan bahawa adik lelakinya, Peter, berkata dia dan Persana Avril sedang menunggu kereta api untuk membawa mereka ke hospital di Tanjung Rambutan.

Terdahulu, Persana Avril memohon mahkamah memberinya masa dua hari untuk mengemas pakaian sebelum pergi ke Hospital Bahagia, bagaimanapun mahkamah mengarahkannya pergi ke hospital itu hari ini juga.

Nur'Aminahtul Mardiah mengeluarkan perintah itu selepas menolak permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin untuk tidak membicarakan kes anak guamnya di mahkamah terbuka.

Muhammad Nor Izzat berhujah anak guamnya berada dalam keadaan tidak sihat selepas pulang daripada mendapatkan rawatan di Pusat Psikiatri Hospital Sungai Buloh, setelah diikat jamin pada 5 Mei lalu.

Nur'Aminahtul Mardiah menolak permohonan peguam dengan alasan tidak ada sebarang laporan dikeluarkan pihak Hospital Sungai Buloh mengatakan tertuduh dalam keadaan tidak sihat untuk menghadiri perbicaraan dan dibicarakan di mahkamah terbuka.

Beliau juga menolak permohonan peguam itu supaya anak guamnya mendapat rawatan di hospital di Sabah kerana anggota keluarganya tinggal di sana.

Persana Avril yang memakai baju cardigan labuh berwarna coklat keemasan sedondon dengan seluar ketat dan bersanggul mengangguk faham terhadap perintah yang dikeluarkan mahkamah.

Dia yang turut bersolek rapi dan mengikat selendang di sanggulnya menarik perhatian orang ramai di dalam mahkamah menyebabkan majistret membuat teguran kepada peguam.

"Tolong nasihatkan OKT (Orang Kena Tuduh) supaya jangan berpakaian macam 'rock star', tolong pakai elok-elok sikit," katanya.

Persana Avril dituduh menanggalkan baju di khalayak ramai apabila gagal membayar selepas makan di sebuah kedai nasi ayam di Jalan Petaling di sini pada 23 April lepas. Gambarnya tanpa baju dan coli menjadi viral di laman sosial.

Terdahulu ketika kesnya disebut pada 9.30 pagi, wanita itu tidak hadir sebaliknya hanya menghantar peguam dan penjamin yang merupakan adik lelakinya.

Peguamnya memberi alasan tertuduh tidak boleh hadir ke mahkamah kerana berada dalam keadaan tidak sihat bagaimanapun mahkamah menangguhkan kes itu sehingga pukul 12 tengah hari dan memerintahkannya hadir kerana tiada sebarang sijil cuti sakit dikemuka.

Mahkamah menetapkan 2 Julai untuk mengetahui laporan perubatan kesihatan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain