NIBONG TEBAL: Akibat melakukan pelbagai kesalahan trafik selama lapan tahun, seorang jurujual didenda RM16,200 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap 44 pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan trafik antaranya tiada lesen memandu. Majistret Rashidah Baharom turut memerintahkan Joshua Primus, 26, yang merupakan orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman penjara 222 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Rashidah juga memerintahkan Joshua tidak dibenarkan untuk mengambil lesen selama 12 bulan bermula dari tempoh dia disabit kesalahan. Joshua didakwa dengan 44 pertuduhan antaranya memandu dan menunggang motosikal dengan tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar, kenderaan tidak mempunyai insurans perlidungan dan cukai jalan, melanggar lampu isyarat merah ketika memandu, lampu motosikal di belakang gagal berfungsi serta nombor plat kenderaan yang tidak mengikut peraturan. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Selatan di sini antara 25 Nov 2007 hingga 5 April 2015 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu Joshua memohon hukuman denda minimum dikenakan terhadapnya. Sementara itu di mahkamah sama, Joshua mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dekat sini pada November tahun lepas. Rashidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan sebutan semula kes itu pada 16 Jun ini. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nor Sakinah Ibrahim memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 tetapi tertuduh merayu ia dikurangkan. Joshua dituduh melakukan kesalahan itu dengan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar Mohd Hafizi Mohammad Yusof, 29, di Jalan Batu Kawan, dekat sini pada 1.10 pagi, 16 Nov 2014. Mangsa yang berasal dari Pulau Aman, dekat sini meninggal dunia dua bulan selepas kemalangan itu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.