suria

Bekas Atlet Negara Lumpuh Terharu Terima Gantirugi RM640,000

Norazleen tidak dapat menahan tangisan sebaik mendengar keputusan Mahkamah Tinggi George Town yang memihak kepadanya, Jumaat.

GEORGE TOWN: Gantirugi RM640,000 yang diperoleh susulan kegagalan pembedahan tulang belakang, 10 tahun lalu hanya disambut dengan tangisan penuh kesyukuran oleh bekas pelari pecut junior wanita negara, Nor Azleen Mohammad Mustafa.

Mahkamah Tinggi di sini memutuskan sedemikian dan memihak kepada wanita berusia 26 tahun yang lumpuh daripada pinggang ke bawah ini.

Nor Azleen memfailkan tuntutan RM4.6 juta terhadap pakar otopedik, Dr Omar Md. Isa dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, walaupun memperoleh pampasan itu, beliau tidak lagi dapat kembalik beraksi di balapan atau meneruskan kehidupan normal seperti individu lain.

"Saya perlu menerima kenyataan. Apa lagi yang boleh saya lakukan? Memang ada sedikit penyesalan. Kaki saya tidak lagi normal seperti dulu," katanya yang sebak sepanjang perbualan itu.

Norazleen bersama Zainab (kanan) dan bapanya, Mohammad Mustafa ketika hadir di Mahkamah Tinggi George Town, Jumaat.

Malahan, ibunya, Zainab Hashim, 52, yang juga tidak dapat menahan air matanya berkata, Norzaleen juga menghadapi masalah sukar mengawal pembuangan air kecilnya.

"Dulu dia seorang atlet yang bagus, tetapi sekarang nak solat pun susah. Saya bimbang memikirkan masa depannya. Buat masa ini kami boleh menjaganya, tetapi apa akan jadi jika saya dan bapanya sudah tiada?" tanya Zainab.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Ariffin memutuskan Norazleen layak menerima RM510,000 untuk pampasan am kerana menanggung kesakitan dan ia dikira mengikut kadar lapan peratus setahun daripada tarikh saman itu difailkan pada 2008 sehingga mencapai penyelesaian penuh.

Beliau turut memberi tambahan RM129,818.75 pampasan khusus dengan empat peratus faeedah setahun bermula dari tarikh pembedahan pada 30 Ogos 2005. Jumlah itu untuk lampin pakai buang, bil perubatan dan tongkat.

Norazleen mengemukakan tuntutan sebanyak RM4.6 juta merang­kumi RM3 juta sebagai ganti rugi am dan RM1.6 juta lagi sebagai ganti rugi khas terhadap dua defendan.

Pembedahan yang dilakukan telah membawa kerosakan saraf sehingga menyebabkan Norazleen lumpuh daripada pinggang ke bawah.


Artikel Lain