suria

PDRM Sedia Perakui Akuan Penerimaan PLKS – Jabatan Imigresen

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz (kanan) memberikan penerangan mengenai aspek penguatkuasaan membabitkan akuan penerimaan kepada anggota dan pegawai PDRM dan Jabatan Imigresen.

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menerima pakai akuan penerimaan (AP) sebagai dokumen gantian sementara yang sah sehingga pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan kepada majikan untuk pekerja asing di negara ini.

Persetujuan itu berdasarkan siri pertemuan antara kedua-dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menetapkan koordinasi penguatkuasaan.

Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, secara dasarnya jabatan itu mendapat kerjasama penuh daripada pihak polis dalam memperakukan AP sebagai dokumen sokongan yang membuktikan pembaharuan PLKS telah dibuat.

“Kita mendapat kerjasama penuh daripada pihak polis. Oleh itu, kita akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk penguatkuasaan.

“Maknanya, selepas ini penguatkuasaan bukan sahaja akan melakukan pemeriksaan terhadap pasport dan pelekat PLKS pekerja asing, bahkan turut melibatkan akuan penerimaan,” katanya kepada mStar Online.

Jumaat lalu, satu sesi pertemuan antara Jabatan Imigresen dan PDRM serta penyedia perkhidmatan sistem dalam talian, MyEG diadakan bagi zon tengah di Cyberjaya, susulan selepas sesi sama di peringkat zon utara, selatan dan pantai timur.

Farah Adura berkata, terdapat cadangan dan pandangan berkaitan AP yang dikemukakan oleh pihak PDRM yang hadir semasa sesi pertemuan tersebut.

“Kita ada terima maklum balas mereka dari segi penguatkuasaan melibatkan AP. Kita akan teliti kesemuanya terlebih dahulu sebelum membuat pertimbangan,” katanya.

Aspek penguatkuasaan dibangkitkan selepas beberapa isu yang timbul dalam proses pembaharuan PLKS secara dalam talian yang dikuatkuasakan sejak Januari lalu.

Farah Adura (dua, kanan) dan Zahari (dua, kiri) daripada Jabatan Imigresen memberikan penerangan dalam sesi pertemuan bersama PDRM.

Wakil PDRM yang hadir pada sesi pertemuan tersebut memberikan pelbagai reaksi berhubung penerangan yang diberikan Jabatan Imigresen dan penyedia perkhidmatan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, DSP Arifai Tarawi berkata, penerangan itu merupakan satu pendekatan baharu yang digunakan Jabatan Imigresen dan MyEG bagi melancarkan lagi proses penguatkuasaan antara agensi terutama polis.

“Kami sebagai penguatkuasa akur kepada dasar dan polisi yang dibawakan oleh kerajaan dan diharapkan supaya adanya kerjasama rapat antara kedua-dua pihak.

“Kita minta supaya Jabatan Imigresen dapat jadi macam kami PDRM yang boleh dihubungi 24 jam kerana penguatkuasaan berlaku sepanjang masa,” katanya.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Dang Wangi, DSP Gurbinder Singh Mann berkata, penerangan itu mengatasi kekeliruan sebelum ini berhubung akuan penerimaan semasa penguatkuasaan polis terhadap pekerja asing. 

“Maklumat ini akan disalurkan kepada pegawai dan anggota saya sebagai pemahaman dalam melancarkan tugas penguatkuasaan mereka pada masa akan datang,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 1,200 anggota dan pegawai di IPD Dang Wangi. 

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik IPD Subang Jaya, DSP Azman Shari’at berkata, walaupun penggunaan AP mendapat persetujuan bersama namun penerangan kepada peringkat bawahan memerlukan masa.

Katanya, maklumat yang akan disalurkan kepada anggota dan pegawai akan diteliti dan dibuat secara berperingkat dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

“Banyak perkara perlu difahami terlebih dahulu sebelum diberikan penerangan kepada lebih 1,000 anggota dan pegawai seperti cara penguatkuasaan membabitkan AP dan memastikan tidak timbul isu pemalsuan dokumen itu,” kata DSP Azman. 

mStar Online pada minggu lalu melaporkan mengenai permintaan Jabatan Imigresen supaya pihak berkuasa terutama polis tidak menahan pekerja asing yang mempunyai akuan penerimaan.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas berhubung isu sama mengesahkan AP adalah dokumen gantian yang sah sehingga pelekat PLKS yang baharu dikeluarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memberi jaminan untuk menyelesaikan kekeliruan berhubung isu penahanan pekerja asing ketika proses memperbaharui PLKS.

Artikel Lain