SHAH ALAM: PAS sudah melaksanakan tanggungjawabnya menjemput DAP dan parti itu berhak untuk tidak hadir muktamar, kata Muhammad Khalil Abdul Hadi. Timbalan Ketua Pemuda parti itu berkata, apa yang penting adalah jemputan daripada PAS sebagai tuan rumah dan DAP sendiri yang tentukan untuk hadir atau sebaliknya. “Hadir atau tak nak hadir tanggungjawab kita sebagai tuan rumah untuk jemput mereka. “Macam rayalah, kita sebagai tuan rumah jemput datang rumah, dan atas dialah nak hadir atau tidak,” katanya yang ditemui di pekarangan bangunan Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, Selasa. Muhammad Khalil yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan DAP yang mengesahkan memboikot Muktamar PAS kali ini. Sebelum ini, kepimpinan DAP mengumumkan akan memutuskan hubungan dengan Hadi tetapi tidak pemimpin PAS lain. Mengulas lanjut, beliau berkata, kemelut di antara PAS dan DAP adalah lumrah dalam sesuatu hubungan persahabatan. “Kami tahu umum mahu melihat Pakatan Rakyat sentiasa berada dalam mood baik tetapi lumrah dalam bersahabat bukan sepanjang masa rapat dan baik. “Apa yang berlaku hari ini adalah perkara lumrah, hanya perbezaan pandangan dan PAS tetap dengan prinsip dan dasar yang kami perjuangkan. Kita juga menghormati rakan-rakan dalam Pakatan,” katanya.