suria

"Minta Maaf Kak...Saya Rasa Macam Nak Nangis."

BERTALU-talu Nas mengasak isterinya supaya segera menelefon rakan-rakan mereka di Pulau Pinang bertanyakan kedudukan terkini selepas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengirim surat pemakluman pemberhentian kerja serentak 20,000 kakitangannya - yang terbesar dalam sejarah korporat Malaysia, pada Isnin.

Daripada 20,000 itu, enam ribu akan diberhentikan. Selebihnya akan menerima tawaran baru dengan pakej dan gaji baru. Kalau terima jawab dalam tempoh seminggu, kalau tidak, tawaran akan dibuka kepada yang lain.

Namun Liz serba salah. Bukan sahaja dia tidak sanggup malah dia tidak bersedia untuk mendengar suara rakan-rakan lamanya di hujung talian telefon.

"Liz tidak sanggup Nas. Liz bersama mereka hampir 15 tahun. Entah apa yang bakal mereka terima kita tidak tahu."

"Telefonlah...Itu adalah lebih baik daripada tidak bertanya khabar langsung," kata Nas.

Liz masih tidak berganjak. Itu dengan sendirinya menunjukkan yang dia masih ragu-ragu. Jelas sekali dia tidak pasti siapakah di antara bekas-bekas rakan sekerjanya dahulu dalam MAS yang akan dikekalkan dan akan ditamatkan perkhidmatan. Tiada siapa yang tahu sehinggalah mereka menerima notis rasmi secara peribadi.

"Siapa yang patut Liz telefon terlebih dahulu?"

"Telefon Kak Didi..."

"Dah bertahun saya tidak bercakap dengan Kak Didi," kata Liz.

"Bagaimana dengan Zu? Bukan baru minggu sudah Liz bercakap dengan Zu ke?"

"Ya, mungkin Zu. Tapi dia seorang yang emosi. Dia mungkin akan menangis kalau Liz telefon dia. Itu yang Liz tidak sanggup nak dengar Nas."

Nas pun terdiam. Dia tidak lagi kelihatan berusaha untuk mendesak isterinya itu. Tetapi itu tidak sama sekali memadam perasaan ingin tahunya.

Selepas hampir setengah jam mengambil masa untuk menenangkan dirinya Liz memberanikan diri mengangkat telefon dan mendial nombor Zu.

Agak lama juga dia menunggu. Zu tidak menjawab panggilannya itu.

"Tengok! Kan saya dah kata. Mereka pun tak sanggup nak menjawab panggilan saya," kata Liz.

Ada bunyi bip tanda mesej masuk. Liz melihat skrin telefonnya. Satu mesej masuk melalui aplikasi WhatsApp.

"Nas, Zu...Zu jawab melalui WhatsApp."

"Saya minta maaf Kak...Saya tak sanggup nak jawab panggilan Kak. Jiwa saya luluh lepas saya buka surat tu. Jika saya jawab panggilan Kak, saya dengar suara Kak, saya gerenti saya akan menangis Kak."

Liz jawab; "Apa surat tu kata Zu?"

"Saya kena buang kerja Kak! Dua belas tahun saya bekerja dengan MAS Kak. Kakak buat keputusan yang betul berhenti kerja lebih awal ikut Abang berpindah ke Kuala Lumpur. Jadi Kakak tidak perlu berhadapan dengan penyiksaan ini Kak," kata Zu.

"Sabarlah Zu...benda dah di luar kawalan kita Zu."

"Nak sabar macamana Kak. Saya masih bayar hutang kereta tak habis lagi. Hutang rumah juga belum habis lagi. Nak makan, nak bayar bil semua Kak macamana Kak...," raung Zu semakin kuat.

"Alahai Zu...Akak simpati dengan zu. Banyak bersabar Zu...mengucap Zu. Kita orang Islam. Kita ada Iman. Kuatkan Iman Zu hadapi musibah ni."

"Zu cuba menahan perasaan ni kak. Tapi air mata Zu berderai jatuh juga Kak. Zu tak sanggup nak hadapi situasi ni Kak."

"Macam ni Zu...dengar apa Kak nak cakap. Zu akan dapat pampasan. Walaupun tak seberapa tapi masih dapat. Apa yang Zu perlu lakukan ialah Zu buat kira-kira. Zu rancang betul-betul bajet dan kewangan Zu. Zu boleh gunakan wang pampasan tu kelak untuk bayarkan hutang kereta dan hutang rumah selama setahun secara advance. Bila Zu buat macam tu, sekurang-kurangnya Zu tak perlu pening kepala fikir soal bayaran ansuran selama setahun. Tempoh 12 bulan tu Zu gunakan untuk cari kerja lain perlahan-lahan. Kalau Zu buat macam tu juga, Zu telah menyelamatkan wang pampasan itu daripada digunakan ke jalan yang tidak sepatutnya Zu," kata Liz.

Tidak lama kemudian, Zu jawab.

"Terima kasih Kak. Saya rasa lega sikit dapat meluahkan perasaan saya ni pada Akak. Elok juga cadangan yang Kak berikan tu..."

Untuk beberapa minit, Nas hanya menjadi pemerhati. Dia memerhatikan isterinya menerima dan membalas jawab kesemua mesej Zu itu.

Matanya memandang Liz yang tetap cantik jelita itu walaupun dalam wajah yang muram dan masam tapi Liz seperti tidak memperdulikannya sedangkan dialah yang mendesak Liz supaya menelefon rakan-rakan isterinya itu.

"Apa Zu cakap...cepat la."

"Dia menangis...dia salah seorang daripada enam ribu yang kena buang."

"Kesian...telefon yang lain pula."

"Dah! Saya tak sanggup lagi dah...cukuplah."

MAS, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain