suria

Heboh Kepulangan TPM Disambut Secara Besar-Besaran

PETALING JAYA: Heboh diperkatakan di laman media sosial mengenai usaha untuk menghimpunkan seramai mungkin penyokong pada Selasa malam bagi menyambut kepulangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada bercuti di Australia.

Beberapa blog juga menggesa penyokong Muhyiddin datang berramai-ramai menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 malam.

Ia menjadi isu hangat di kalangan rakyat pelbagai lapisan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan memberi kata dua kepada barisan menterinya yang menentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

Najib dilaporkan memberitahu anggota kabinet sama ada "berada di sisinya atau meletak jawatan".

Pesanan teks juga dikatakan tersebar bagi mengumpul seramai mungkin penyokong di KLIA.

Bagaimanapun, seorang pegawai di pejabat Timbalan Perdana Menteri menafikan pihaknya menyebarkan pesanan teks tersebut.

"Kami tidak pernah menjemput sesiapa untuk menghantar atau menyambut beliau pulang," kata pegawai itu yang tidak mahu dikenali.

Selain itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein di laman Twitternya berkata, beliau bersetuju dengan kata dua Najib tetapi dengan tiga syarat, ada rasionalisasi 1MDB, akauntabiliti dan ketelusan.

Muhyiddin sebelum ini tidak menghadiri mesyuarat Kabinet khas kerana berada di luar negara sejak 26 Mei.

Menerusi video pada sesi latihan tertutup Umno, Muhyiddin menuntut seluruh lembaga 1MDB dipecat dan mendesak Najib melakukannya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, IMDB

Artikel Lain