PETALING JAYA: Menghidupkan kem penyeludupan manusia sebagai tempat tarikan pelancong adalah idea yang buruk, kata MIC. Ketua Pemuda MIC C. Sivarraajh mengecam cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencadangkan kem penyeludupan di Wang Kelian, Perlis sebagai salah satu destinasi tarikan pelancong. "Bagaimana kerajaan mempertimbangkan apa-apa cadangan mengaut keuntungan daripada kesakitan dan tragedi pelarian yang telah diperdagangkan ke Malaysia ? " soal Sivarraajh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa. Tambahnya, kem-kem tersebut seharus dijadikan tempat memorial kepada mangsa. "Ia akan mengingatkan semua orang tentang perbuatan tidak berperikemanusiaan dan kekejaman yang membuatkan mangsa menderita," katanya. Pada Ahad, Shahidan mencadangkan agar kem-kem penyeludupan yang ditemui di sekitar sempadan Thailand- Malaysia dijadikan tarikan pelancong.