suria

Majlis Daerah Tanjong Malim Batal Kempen Kontroversi '1 Anjing RM10'

PETALING JAYA: Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) memutuskan untuk membatalkan penganjuran kempen '1 Anjing RM10' yang sepatutnya bermula pada Rabu.

Pembatalan itu dibuat berikutan mendapat kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak di media sosial.

Menurut satu kenyataan MDTM, kempen itu sebenarnya tertumpu kepada anjing-anjing liar yang berkeliaran dan mendatangkan gangguan kepada penduduk setempat.

"Bagaimanapun, MDTM mengambil maklum dan perhatian atas semua komen dan pandangan masyarakat terhadap isu ini.

"Untuk makluman semua, kempen ini akan diberhentikan serta-merta dan pihak MTDM akan mengkaji semula kaedah yang lebih baik bagi mengatasi masalah anjing liar yang sering diadukan pelbagai pihak," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook majlis perbandaran itu.

MTDM turut mengucapkan terima kasih terhadap semua teguran yang diberikan berhubung kempen berkenaan. 

Kempen '1 Anjing RM10' sepatutnya bermula dari 3 sehingga 12 Jun yang diadakan di pejabat MDTM di Bandar Behrang 2020, Tanjong Malim, Perak.

Menurut kempen itu, penyertaan dibuka kepada warga Tanjong Malim dan Slim River bahawa setiap ekor anjing yang diserahkan dibayar RM10. 

Pengumuman MDTM mengenai pembatalan kempen '1 Anjing RM10'.

Susulan itu, orang ramai memberikan pelbagai reaksi di Facebook rasmi MDTM berhubung kempen tersebut termasuk pengumuman pembatalannya.

Menurut pengguna Facebook, Kamal Hussain, kempen itu seolah-olah menunjukkan nilai nyawa seekora anjing hanya RM10.

"Nilai nyawa hanya RM10... sangat tidak berperikemanusiaan sebuah agensi kerajaan tempatan. Anjing juga makhluk tuhan dan mereka juga ada nyawa sama seperti kita. Berfikir sebelum bertindak, jangan kebodohan menguasai diri," katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Ti Sha Quek berkata, kempen seperti ini hanya akan membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat.

"Kalau sesetengah orang yang malas kerja, atau penagih dadah yang terdesak mahu cari wang, mereka akan masuk rumah orang mencuri anjing keperliharaa semata-mata mendapatkan RM10 anda, curi 10 anjing sudah dapat RM100. Lagi-lagi ini semua duit rakyatkan, minta maaf kalau saya silap tetapi di mana perginya perikemanusian anda semua," katanya.

Ajep Mohd berpendapat bahawa MDTM sewajarnya menangkap anjing termasuk kucing jalanan ini dan menghantarnya ke pusat jagaan haiwan di samping meminta kerajaan menanggung kos pemandulan haiwan berkenaan.

Sambil menegaskan supaya haiwan itu tidak dibunuh, Ajeb Mohd berkata, selepas ia dimandulkan, MDTM boleh membuka tawaran kepada orang ramai untuk pengambilan haiwan perliharaan atau dilepaskan kembali.

"Tetapi sebaik-baiknya kerajaan menyediakan satu kawasan khas untuk binatang itu hidup dan sediakan makanan serta jagaan sewajarnya. Anjing dan kucing liar juga perlu diberikan peluang untuk hidup," katanya.

Bagaimanapun, Poon Seng Kitt menyambut baik keputusan MDTM membatalkan penganjuran 'kempen anjing' itu.

"Terima kasih MDTM kerana menghentikan serta-merta kempen ini. Tolong mengkaji semula dan buat sesuatu yang memanfaatkan semua hidupan tak kira manusia ke haiwan atau alam semula jadi. 

"Bumi kesayangan ini bukan sahaja untuk manusia. Bumi ini adalah untuk semua," tambah Poon.

Ha Fi Fi turut berkata, pembatalan kempen itu menunjukkan MDTM menerima pandangan dan suara rakyat dengan menilainya dari sudut kebaikan dalam membuat keputusan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain