SHAH ALAM: Krisis perpecahan dalam Pakatan Rakyat bagai retak menanti belah apabila tiada kelibat pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir pada perasmian persidangan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, Rabu. Media difahamkan majlis perasmian persidangan itu akan hanya dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Akramuddin Abd Aziz. Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dilihat cuba mempertahankan ketiadaan dua sekutunya itu terutamanya DAP. "Saya tak tahu, kena tanya mereka. Dah dia tak datang kita nak buat macam mana, mungkin mereka ada hal," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu. Ketika ditanya adakah ketiadaan DAP merupakan petanda kepada perpecahan Pakatan Rakyat, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata; tiada sebarang petanda ke arah itu. "Biasa sahajalah, hari ini dia tak datang, esok mungkin dia datang. Tak ada, tak ada (rasa kecil hati)," katanya. Malah, Mat Sabu turut yakin PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat kerana tidak menerima usul bagi meminta parti Islam itu memutuskan kerjasama dengan dua sekutunya itu. "Kita masih bersama Pakatan Rakyat… macam setiausaha agung cakap tiada usul untuk keluar Pakatan Rakyat," katanya. Ketika diminta mengulas mengenai peluang untuk mempertahankan jawatannya, Mat Sabu sekadar memberitahu harapan untuk menang tetap ada. "Tak tahulah, saya tak berani nak kata apa, cuma harapan tetap ada. Insya-Allah," katanya ringkas. Mat Sabu akan berdepan pencabarnya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pertembungan satu lawan satu pada pemilihan yang akan berlangsung pada Khamis.