suria

Mat Malaya Direman Seminggu

Mat Malaya ditahan reman seminggu untuk membantu siasatan kes cubaan membunuh dan memiliki senjata api.

KOTA KINABALU: Penjenayah yang dikehendaki berkaitan kes cubaan membunuh dan memiliki senjata api, Mat Malaya ditahan reman seminggu oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu.

Mahkamah bagaimanapun, menolak permohonan polis untuk terus menahan reman isteri penjenayah itu yang berusia 24 tahun.

Mat Malaya ditahan bersama isteri dan bayi perempuan mereka yang berusia dua bulan ketika bersembunyi di inap desa di kaki Gunung Kinabalu, kira-kira 95 kilometer dari sini pada Isnin malam.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, mereka menyiasat Mat Malaya kerana memiliki senjata dan cubaan membunuh mekanik di kedai membaiki penghawa dingin di Inanam pada 6 Mei lalu.

Polis membebaskan isterinya selepas kenyataannya direkod.

Difahamkan, polis sedang berusaha untuk mengesan lokasi senjata yang digunakan pada kejadian itu disimpan.

Suspek atau nama sebenarnya Mohd Jusnaidi Omar yang merupakan adik kepada bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, berusia 44 tahun.

Mat Malaya sebelum ini didakwa atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 2007 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.



Mat Malaya, Gunung Kinabalu

Artikel Lain