SELAYANG: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengadakan seminar bersama peniaga pada masa akan datang bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (pati) di Pasar Borong Selayang di sini. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, program berbentuk seminar kepada peniaga pasar borong itu penting kerana mereka merupakan antara individu yang dapat membantu membasmi kebanjiran pati. "DBKL akan bergabung tenaga bersama FAMA untuk menggesa peniaga supaya bekerjasama dengan pihak kami demi membanteras kebanjiran serta kegiatan pati menjalankan perniagaan di sini sekeras-kerasnya. Ini kerana terdapat peniaga tidak bertanggungjawab mengambil pati sebagai pekerja, malah ada yang turut menyewakan premis kepada mereka. "Jadi, kami akan mengadakan program seminar untuk memberi kesedaran kepada peniaga-peniaga terutamanya di Pasar Borong Selayang," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Loji Rawatan Air Sisa di pasar borong Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu. Beliau menambah, DBKL turut menggesa pihak pentadbiran pasar borong supaya meningkatkan lagi tahap keselamatan bagi mengelak pati menjalankan perniagaan secara berleluasa. "Kita sedia maklum bahawa Pati yang menjalankan perniagaan di pasar borong tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah malah menjual dengan harga jauh lebih murah. "Jadi, pihak pentadbiran pasar borong harus memainkan peranan penting dalam mengawal keselamatan dan kemasukan pati ke kawasan pasar borong kerana sudah semestinya bahan mentah yang dijual seperti sayuran adalah tidak bersih," katanya. Ahmad Phesal memberitahu, pihaknya akan menjalankan operasi dari masa ke semasa di semua pasar borong sekitar Kuala Lumpur untuk memburu pati. "Selepas ops pati yang dijalankan awal bulan lalu, DBKL akan terus menjalankan operasi dengan menyemak dan memastikan kesemua data pekerja serta peniaga didaftarkan di dalam sistem. "Dengan cara ini juga kami dapat mengenal pasti peniaga yang mengambil pati sebagai pekerja mereka dan akan dikenakan tindakan serta merta," jelasnya.